Jumaat, 13 Ogos 2010

Beri ibu bersalin rehat secukupnya

Beberapa negara maju dan membangun di dunia seperti Jepun, Norway dan Singapura menetapkan bahawa pekerja wanita yang melahirkan anak, secara automatik akan diberi cuti bersalin daripada tugasan pejabat paling kurang selama 120 hari atau empat bulan.
Manakala negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Laos, kerajaannya membenarkan seseorang kakitangan wanita bersalin bercuti selama 90 hari.
Pemberian tempoh itu selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 102 dan 103 yang menetapkan tempoh cuti bersalin bagi setiap kakitangan wanita mestilah tidak kurang dari 12 minggu atau 84 hari.
Manakala Konvensyen ILO 183 menetapkan tempoh cuti bersalin tidak kurang daripada 14 minggu (98 hari), di mana 6 minggu merupakan cuti yang wajib diberikan selepas kelahiran.
Namun di Malaysia (kecuali Selangor dan Terengganu) memberikan tempoh cuti bersalin 60 hari. Ia menjadi isu yang dipertikaikan kerana jangka masa itu dianggap tidak mencukupi untuk ibu bersalin pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja.
Selangor dan Terengganu memperuntukkan tempoh cuti bersalin sehingga 90 hari kepada kakitangan wanita di negeri itu.
Selain Malaysia, mengikut Indeks Kompetitif Global (GCI), empat negara lain yang masih memberikan cuti bersalin kurang 12 minggu adalah Hong Kong, Taiwan, Qatar dan Arab Saudi.
Tempoh 60 hari dikatakan terlalu singkat kepada ibu yang baru bersalin untuk menguruskan bayi dan kembali cergas bagi memulakan rutin di tempat kerja.
Kakitangan wanita menuntut tempoh cuti bersalin ditambah menjadi 90 hari kerana ia akan memberi lebih faedah kepada kedua-dua pihak iaitu ibu dan majikan.
Isu ini sering menjadi perdebatan di kalangan kakitangan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sehingga beberapa cadangan berhubungnya sudah dikemukakan sejak bertahun-tahun lalu.
Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diketuai Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akhirnya mengambil langkah drastik bagi membantu kakitangan wanita diberi tambahan cuti bersalin.
Pada Sesi Konsultatif Mengenai Inisiatif Bagi Mewujudkan Keseimbangan Antara Kerjaya dan Keluarga Di Tempat Kerja yang dianjurkan di KPWKM isu itu sekali lagi telah dibincangkan secara serius.
Perbincangan yang dibuat bersama wakil beberapa NGO dan majikan tempatan itu bertujuan mendapatkan idea serta maklum balas mereka berhubung rasionalnya penambahan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.
Antara NGO yang menyertai perbincangan itu adalah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Persatuan Penasihat & Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM), Pertubuhan Pembangunan Remaja Malaysia (PAREMA) dan Majlis Peguam Malaysia.
Pada sesi itu, Setiausaha Agong Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Dr. Husna Sulaiman berkata, cuti 90 hari amat penting kepada wanita bersalin namun ia memerlukan sokongan pihak tertentu.
“Cuti 90 hari membolehkan ibu dan anak menyesuaikan diri antara satu sama lain namun tempoh itu tidak mencukupi kepada ibu yang menyusukan anak.
“Bagi memastikan ibu dapat terus menyusukan anak, majikan perlu menyokong dengan menyediakan kelonggaran atau kemudahan menyusukan anak kepada mereka.
“Manakala suami juga perlu menyokong dengan bersama-sama menjalankan tanggungjawab menjaga bayi dan urusan rumah tangga apabila kelapangan supaya tempoh 90 hari mencukupi kepada isteri yang baru melahirkan anak untuk bercuti sebelum memulakan kerja,” ujarnya.
Dalam pada itu Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim), Datin Seri Ismalina Ismail pula mengatakan, penambahan cuti bersalin sehingga 90 hari adalah sesuatu yang penting.
Tegasnya, Mapim bersetuju cuti bersalin kepada wanita ditambah daripada 60 hari ke 90 hari kerana ia memberi peluang kepada ibu untuk menyusukan anak dan mencari pengasuh dengan baik.
Bagaimanapun, Mapim menganggap pemberian itu perlu disokong dengan penglibatan ahli keluarga terutama suami kerana tanpa sokongan ini, tempoh cuti banyak mana sekalipun tidak akan pernah mencukupi.
“Janganlah jadi suami yang bila anak pertama dan kedua, tempoh cuti bersalin tujuh hari yang diberikan kepada mereka digunakan sebaik mungkin untuk menjaga anak, namun bila masuk anak ketiga, mereka menghabiskan cuti itu dengan membuat aktiviti luar seperti memancing.
“Penglibatan kaum keluarga terutama suami untuk membantu menguruskan keluarga akan memberi kesan lebih baik kepada isteri dan membolehkan isteri menumpukan perhatian kepada bayi serta berehat,” tambahnya.
Selain itu, beberapa wakil NGO yang menyertai sesi berkenaan sepakat menyatakan bahawa bagi seseorang ibu, tempoh cuti bersalin yang lebih lama dapat dimanfaatkan untuk menyusukan bayi serta mengeratkan hubungan antara anak dan ibu.
Dengan tempoh itu juga, ibu pastinya lebih lega untuk meninggalkan anak kepada jagaan pengasuh kerana apabila tamat cuti bersalin, anak sudah berusia tiga bulan.
Tempoh cuti sehingga 90 hari yang didambakan itu mampu memberikan wanita yang baru bersalin rehat mencukupi dan mengembalikan tenaga selepas melalui detik sukar melahirkan anak.
Kesihatan yang sempurna daripada segi mental dan fizikal membolehkan mereka menjalankan tugasan di tempat kerja dengan baik dan membantu majikan meningkatkan produktiviti.
Selepas memulakan tugasan, kebarangkalian untuk seseorang wanita itu mengambil cuti sakit juga adalah kurang dan ia pastinya menjimatkan kos perubatan majikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen la sikit...