Selasa, 10 Ogos 2010

IPTS tipu kursus, pelajar putih mata

MENGGENGGAM segulung ijazah untuk melangkah ke alam pekerjaan merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh setiap siswazah. Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun dan wang ribuan ringgit di institusi pengajian tinggi (IPT) terutama swasta (IPTS).
Namun, bayangkan betapa luluhnya hati apabila mengetahui diploma atau ijazah di tangan sebenarnya tidak diiktiraf di negara ini.

Universiti awam tempatan dan di negara maju seperti United Kingdom (UK), New Zealand dan Australia turut menekankan pengambilan pelajar yang sijil mereka mempunyai akreditasi bagi menyambung pelajaran.

Persoalannya, adakah IPT khususnya IPTS beroperasi sekadar mengaut keuntungan sehingga mengabaikan kualiti pendidikan serta memperjudikan nasib ribuan penuntutnya.

Awas! Jangan hanya ghairah mahu memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tetapi akhirnya berputih mata apabila mengetahui kursus diikuti tidak diiktiraf kerajaan.

Pesanan jangan mudah terpedaya dengan tawaran kursus di IPTS ini perlu dihebahkan. Ini kerana banyak IPTS tidak jujur sebaliknya beria-ia menarik pelajar baru semata-mata mahu mengaut keuntungan.

Sesetengah kurus yang ditawarkan tidak pernah atau belum mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Fenomena yang sering berlaku adalah IPTS ‘menjaja’ kononnya memiliki akreditasi sedangkan mereka hanya menerima akreditasi provisional atau sementara yang diberi MQA selepas penilaian awal.

Sedangkan, maksud kursus diiktiraf adalah memiliki akreditasi penuh daripada MQA sebelum kumpulan pelajar pengambilan pertama menamatkan pengajian.

Ada juga IPTS menipu dengan mengabui mata pelajar dengan mempromosi pengiktirafan MQA walaupun ia untuk kursus tertentu bukan keseluruhan yang ditawarkan.

Oleh itu, luangkanlah masa menyiasat latar belakang IPTS dan program yang ditawarkan. Fikirkan bahawa memiliki sijil yang tidak diiktiraf membuatkan anda tidak ‘laku’ di pasaran pekerjaan.

Malah, sijil, diploma dan ijazah di tangan nanti tidak boleh digunakan jika berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Fakta MQA, sejak 1998 sehingga 1 Jun lalu, 413 program yang ditawarkan 158 IPTS ditolak permohonan akreditasi penuh mereka.

Jika dianggarkan setiap program mempunyai 100 pelajar, maka lebih untunglah mereka.

IPTS ‘berpesta iklan’ tawar kursus sijil, diploma dan ijazah dengan bayaran murah. Tetapi banyak yang menipu kononnya sudah dapat akreditasi penuh MQA.

Tiada ulasan:

Catat Komen

komen la sikit...